Monday, March 22, 2010

Motivasi - Kita Tidak Tahu...


Satu kisah…..seorang wanita dalam perjalanan untuk ke stesen bas. Dia sekarang berada di Kuala Terengganu dan mahu bertolak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres. Bas dijadualkan bertolak pada pukul 9 malam dan sekarang jam menunjukkan pukul 8.45 malam.

“Ishh..cepatlah dik. Terlepas bas akak nanti.”

Si adik hanya mendiamkan diri. Keretanya yang tidak pernah rosak sebelum ini tiba-tiba sahaja meragam sebelum memulakan perjalanan tadi. Si kakak sudah tidak berhenti-henti merungut kerana bimbang tertinggal bas.

“Aduh…10 minit lagi…. jauh lagi ni!” rungut si kakak kerana memikirkan masih ada lebih kurang 15 kilometer lagi sebelum sampai ke perhentian bas. “Semuanya serba tak kena malam ni!” Katanya lagi.

“Takpe, selalu bas kan lambat bertolak. Cakap pukul 9, pukul 9.15, 9.30 baru bergerak….macam tak biasa,” sahut si adik untuk menenangkan diri sendiri dan diri si kakak. Si kakak tidak membalas, hanya memasamkan muka.

Tepat 9.05 malam, mereka sampai ke stesen bas. Malangnya, mereka diberitahu bas telah bertolak tepat pukul 9.02 minit tadi. Si kakak terus mengeluh. Si adik tidak berkata apa-apa. Si kakak akan terlepas masuk kerja esok. Si adik akan menerima leteran sepanjang malam.

Di awal pagi keesokan harinya, si kakak menerima berita yang agak mengejutkan. Bas yang bertolak malam tadi terkandas di sempadan Kemaman dan Pahang disebabkan banjir. Semua penumpang terpaksa bermalam di dalam bas dan ada juga yang dijemput oleh keluarga berdekatan untuk pulang semula ke rumah.

Si kakak menarik nafas panjang. “Kalau aku naik bas semalam, tidakkah aku kena tidur dalam bas yang sempit dan mungkin panas sepanjang malam?”

Si adik hanya tersenyum semasa mendengar berita tersebut.

Cerita tamat. Sekian...

Di sini. Ada Satu persoalan yang bermain di minda saya. Pernahkah kita merungut, sedih dan murung tentang sesuatu sedangkan perkara tersebut sebenarnya adalah permulaan kepada sesuatu yang sangat menggembirakan diri kita? Pernahkah sesuatu yang kita sangka satu bencana atau musibah tetapi sebenarnya adalah satu rahmat kurniaan Allah? Inilah mesej yang perlu kita fikirkan bersama. Jika kita sedang dilanda kesedihan atau kekecewaan, mungkin ada rahmat dan kegembiraan yang sedang bersembunyi disebaliknya. Jika kita fokuskan minda kita secara positif kepada perkara ini, tahap kesedihan dan kedukaan yang kita alami akan menurun dan hati kita akan jadi lebih tenang.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:

“Dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu; dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedangkan ia melarat bagimu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui.”


Selamat mencari ketenangan dan kegembiraan dalam setiap perkara yang berlaku di dalam hidup kita.


0 komen sahaja:

Post a Comment